Laporan National Field Day JASRA Melaka 9M4CJM

JASRA Melaka melalui Jebat DX Club 9M4CJM telah berjaya melaksanakan aktiviti lapangan yang dikenali sebagai National Field Day pada 15 dan 16 September bersempena Hari Malaysia yang ke 56 tahun. Aktiviti sebegini telah dirancang dan berjaya dilaksanakan dan tempat yang dipilih di kawasan lapang berhampiran Pantai Klebang, Melaka. Kawasan ini memang terkenal yang berhampiran dengan Dataran 1Malaysia dan menjadi tumpuan ramai dan  kesempatan ini diambil dengan membuat edaran brochure ringkas berkaitan penerangan Radio Amatur dan aktiviti Malaysia National Field Day.

Walaupun propagasi tidak begitu mendokong, namun kami masih berjaya membuat contact dengan beberapa station National Field Day. Selain komunikasi mode voice (SSB/FM), mode CW juga berjaya dilaksanakan di 20 meter band. Satu perkara yang menarik, NFD pada tahun ini berjaya menjalankan aktiviti komunikasi radio HF yang dipasang pada layang-layang besar yang mendapatkan kerjasama dari Team Impian Kite dari Melaka iaitu satu kumpulan peminat layang-layang yang diketuai oleh Encik Tow Jiann Jiun.

Kumpulan mereka telah bersama menjayakan aktiviti ini dengan menerbangkan beberapa jenis layang-layang dan salah satu layang-layang telah dipasang dengan antenna long wire End Fed Half Wave (EFHW) dan berjaya mendapat beberapa contact station di jalur HF.

YB Gue Teck (tengah), ADUN Klebang diberi penerangan oleh 9W2DOU Datuk Hj Abu (kanan), turut hadir Pengerusi MPKK Persiaran Balik Buluh Klebang, Encik Aizam Saad

Stesyen NFD 9M4CJM juga mendapat kunjungan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka Kawasan Klebang, Yang Berhormat Tuan Gue Teck pada 15 Sep lebih kurang jam 4.30 petang dan diberi penerangan tentang aktiviti yang dilaksanakan dan peralatan yang digunakan oleh Pengerusi Jebat DX Club, 9W2DOU YBhg Datuk Hj Abu Bakar bin Sahari, turut hadir Pengerusi MPKK Persiaran Balik Buluh Klebang, Encik Aizam Saad.

Siqing Li (duduk, kanan sekali) bersama team NFD 2019 Melaka

Selain dari itu, sekitar jam 8 malam, seorang rakan Radio Amatur dari Shanghai China, BG4HRM Siqing Li telah membuat kunjungan ke lokasi NFD JASRA Melaka. Beliau yang bertugas dengan kontraktor MRT Sungai Buluh – Kajang turut membawa rakan sekerja beliau yang secara kebetulannya dalam program lawatan sehari melawat sekitar bandar bersejarah Melaka.

Satu perkara tambahan yang menarik ialah percubaan Amateur Radio Satellite Tracking yang menggunakan Yaesu Antenna Rotator yang dilengkapi dengan Azimuth dan Elevation yang dikawal sepenuhnya oleh komputer. Setup alignmentnya mengikut arah utara / selatan agak memeningkan, namun akhirnya berupaya membuat komunikasi dalam mode voice dalam FM mode VHF / UHF uplink/downlink.

Setinggi-tinggi perhargaan dan tahniah kepada rakan radio Amatur dari sekitar Melaka dan Muar yang sama menyokong dan menjayakan aktiviti National Field Day pada tahun ini. Tidak dapat disenaraikan satu persatu mereka yang telah terlibat secara langsung yang bertungkus lumus dari awal sehingga tamat.

Ucapan penghargaan juga diberikan kepada Jabatan Pendidikan Melaka melalui Pusat Kokurikulum Melaka, Lanchang, Merlimau yang telah bersama bekerjasama membantu menyediakan khemah, meja dan kerusi sepanjang program ini dilaksanakan.