Simposium Radio Amatur 2019 – dari Pengerusi AJK Penganjur

Sumber: Facebook Simposium Radio Amatur Malaysia

20 Julai 2019 Sabtu, Cyberjaya – Simposium Radio Amatur 2019 telah julung-julung kali diadakan atas usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Jawatankuasa Simposium yang terdiri dari wakil-wakil persatuan dan kelab radio amatur susulan suatu mesyuarat yang dipanggil oleh SKMM pada April 2019.

Tidak kurang dari 160 peserta telah hadir yang terdiri dari wakil-wakil persatuan radio amatur dari seluruh Malaysia, interest group, agensi kerajaan dan orang perseorangan. Simposium ini yang bertemakan “Maju Kehadapan”, juga merupakan suatu peristiwa bersejarah di mana ianya berjaya mengumpul dan membawa wakil-wakil persatuan untuk berbincang dan membuat resolusi untuk membangunkan industri radio amatur agar lebih maju di masa hadapan.

Simposium ini telah dirasmikan oleh Dr Nasruddin Ati’qullah Fakhrullah, Ketua Bahagian Teknologi dan Standard SKMM. Simposium ini juga menyaksikan kehadiran Timbalan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) iaitu Tuan Mohd Zahari Razali, Puan Izani Ariffin, Ketua Jabatan Peruntukan Spektrum SKMM dan Tuan Abdul Karim Abdul Razak, Ketua Jabatan Pembanguan Standard SKMM.

Penceramah-penceramah yang dijemput untuk membentangkan ceramah masing-masing ialah En Abdul Aziz Mohd Noor (9M2AU), En Abdul Rahim Abdul Rahman “Pak Rahim”(9M2RR), Dr. Ahmad Faizal Mohd Zain (9M2DX), Ts Dr Mohd Azlan AB Aziz “Cikgu Lan” (9M2AGC), Dato Bahari Taib ((9W2DBT), Ir Mohd Aris Bernawi (9M2IR), Lt. Kol Bersekutu (PA) Dato’ Hj. Abd Lah @ Abdullah bin Hj. Awang “Pak Lah” (9W2HOZ) dan Mejar (B) Zulkipli A Malik (9W2ZYC).

Di samping penceramah berkongsi pendapat dan maklumat, ramai hadirin menunjukkan minat dengan menyuarakan pendapat dan bertanyakan soalan-soalan membangun. Di akhir Simposium, semua hadirin sebulat suara bersetuju untuk menubuhkan Majlis Presiden Persatuan dan Kelab Radio Amatur Malaysia. 9W2FG (MARES) telah dilantik sebagai penyelaras dibantu oleh 9W2WSY (PEMANCAR). Majlis penutup telah disempurnakan oleh Tuan Abdul Karim Abdul Razak SKMM.

Selaku Pengerusi AJK Simposium, saya amat berterimakasih kepada semua AJK yang bertungkus lumus menjayakan Simposium ini, syabas kepada semua. Juga setinggi-tinggi penghargaan dan terimakasih kepada semua hadirin. Pohon maaf sekiranya terdapat kekurangan dan kesilapan. Pihak AJK akan menghantar laporan pasca Simposium kepada SKMM.  Jutaan terimakasih kepada SKMM, Tune Talk Sdn Bhd dan Forum Pengguna Malaysia di atas bantuan, sumbangan dan pertolongan dalam menjayakan Simposium ini.

Video acara-acara semasa simposium boleh didapati di YouTube

Segala pendapat, komen berkenaan Simposium Radio Amatur Malaysia 2019 atau Majlis Presiden boleh diajukan kepada saya melalui email di 9w2fg at mares.org.my

Sekian terima kasih dan wassalam
Ashwar Aziz 9W2FG
73 de